IMPLIKASI STRATIFIKASI SOSIAL TERHADAP KOMUNITI SEKOLAH

 KONSEP

Stratifikasi ialah pembezaan individu kepada kelas secara hierarki (Suci & Saefur, 2019). Hal ini termasuklah dalam aspek pangkat, kekayaan, atau kuasa yang menjadikan ia dikenali sebagai stratifikasi sosial.  Strategi stratifikasi sosial mengkategorikan orang dalam masyarakat secara menegak atau berlapis serta mewujudkan perbezaan antara kelas sosial yang berbeza. Faktor seperti dinamik kuasa dan status sosial mempengaruhi klasifikasi ini, yang menghasilkan pembentukan pelbagai strata sosial. Justeru, pelbagai sarjana telah menyumbangkan pelbagai idea dan pendapat mereka berkenaan pendefinisian dan pemahaman stratifikasi sosial. Menurut Abdullah dan Taufan (2021), stratifikasi sosial merujuk kepada pembahagian manusia kepada peringkat atau strata yang boleh dilihat berbentuk menegak seperti lapisan bumi yang tersusun di atas, tengah dan bawah.

JENIS-JENIS STRATIFIKASI SOSIAL

    Stratifikasi sosial boleh dikategorikan kepada tiga pecahan iaitu stratifikasi sosial tertutup, stratifikasi sosial terbuka dan stratifikasi sosial campuran.

    Yang pertama adalah stratifikasi sosial tertutup. Sistem lapisan sosial tertutup menyekat seseorang daripada berpindah dari satu lapisan sosial ke lapisan sosial yang lain. Satu-satunya cara untuk menjadi sebahagian daripada lapisan sosial tertentu adalah melalui kelahiran. Salah satu contoh sistem lapisan sosial tertutup yang boleh didapati adalah  di India kerana ia masih berpegang kepada sistem kasta.

    Stratifikasi sosial terbuka merujuk kepada sistem di mana individu mempunyai kemungkinan untuk berpindah kedudukan dalam pelbagai lapisan sosial, sama ada atas dan bawah, melalui usaha, terutamanya melalui pendidikan. Sistem ini dinamik dan membolehkan mobiliti sosial untuk sesiapa sahaja. Dari sudut pendidikan, stratifikasi sosial terbuka dilihat sebagai alat penting untuk mobiliti sosial dalam masyarakat. Kepercayaan umum di kalangan mereka ialah pendidikan adalah usaha manusia untuk meluaskan pengetahuan mereka untuk mengembangkan nilai, sikap, dan tingkah laku. Pendidikan juga dianggap sebagai satu usaha yang bukan sahaja menghasilkan kelebihan yang amat besar tetapi juga berfungsi sebagai satu cara untuk melengkapkan pembangunan insan.

    Stratifikasi sosial campuran adalah gabungan stratifikasi sosial terbuka dan stratifikasi sosial tertutup. Individu yang mengalami stratifikasi campuran berasal dari stratifikasi tertutup, kemudian berpindah ke masyarakat yang berpegang kepada sistem stratifikasi terbuka. Sebagai contoh, orang yang tergolong dalam kasta Brahmin di Bali sangat dihormati, tetapi apabila mereka berpindah ke bandar lain, status sosial mereka menjadi sama seperti orang lain.

IMPLIKASI STRATIFIKASI SOSIAL DALAM KOMUNITI SEKOLAH

        Sekolah adalah penting untuk memerangi perkara buruk dan menjadi penggerak untuk mencapai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Sekolah bukan sahaja tempat pelajar mendapat pendidikan, tetapi juga tempat untuk membantu pelajar dari pelbagai kaum, agama, bangsa dan taraf sosial keluarga bersatu.

Jika persekitaran sekolah dipenuhi dengan semangat positif, ia akan mempunyai keupayaan untuk mewujudkan suasana baharu yang meningkatkan lagi hubungan walaupun dalam kepelbagaian sosiobudaya. Natijahnya, kepelbagaian sosiobudaya dan stratifikasi sosial ini jelas mempengaruhi pendidikan dan meninggalkan kesan dalam komuniti sesebuah sekolah.

Kepelbagaian sosiobudaya, termasuk bangsa, agama, bahasa dan kaum, menjadikan Malaysia unik. Kepelbagaian sosial menimbulkan diskriminasi stratifikasi sosial dalam komuniti, terutamanya dalam komuniti sekolah. Kepelbagaian sosiobudaya ini secara tak langsung akan menimbulkan isu ketidaksamaan di mana isu ini memberi kesan kepada pendidikan termasuklah dalam aspek bahasa, layanan, gender, etnik dan pencapaian dalam bidang akademik ( Siti Norjannah, 2020 ).Komuniti sekolah akan menghadapi banyak cabaran jika terdapat konflik antara kedua-dua aspek kepelbagaian sosiobudaya dan stratifikasi sosial ini. Maka pihak sekolah itu sendiri perlulah mempunyai solusi dalam menangani kepelbagaian sosiobudaya yang menyebabkan jurang sosial atau ketidaksamaan hak antara komuniti sekolah. Bahkan, stratifikasi sosial dan ketidaksamarataan yang wujud akan menyebabkan murid-murid yang mengalami jurang sosial mengalami masalah seperti kurang motivasi untuk pergi ke sekolah, kurang kepercayaan rakan-rakan, dan sebagainya. Hal ini kerana murid-murid ini akan merasakan kurangnya keyakinan diri dan merasakan diri mereka tidak layak untuk berada di dalam sebuah komuniti yang sama dengan murid yang stratifikasi sosialnya pada tahap yang tinggi misalnya murid yang berasal daripada golongan yang kaya.

Kesan stratifikasi sosial yang seterusnya adalah murid kurang pengetahuan. Pengurangan pengetahuan pelajar adalah kesan stratifikasi sosial yang seterusnya. Hal ini kerana tempat tinggal mempengaruhi tahap pendidikan pelajar misalnya pelajar yang tinggal di kawasan felda yang kecil. Kebanyakannya, murid-murid di kawasan felda menghadapi kekurangan fasiliti pendidikan seperti jaringan internet yang lemah, peranti pembelajaran yang tidak lengkap, dan sebagainya. Hal ini menyebabkan murid kurang mendapat pendedahan kepada dunia luar yang lebih luas semasa mereka masih belajar. Perkara ini berbeza dengan pelajar di sekolah bandar yang mempunyai lebih banyak peluang dan pengetahuan berbanding pelajar di luar bandar atau kawasan terpencil. Hal ini kerana, murid dari sekolah bandar seringkali diberikan lebih perhatian dari sesetengah pihak misalnya dari segi infrastruktur di mana infrastruktur di sekolah bandar lebih lengkap berbanding di sekolah luar bandar. Sebagai contoh, dari aspek jaringan internet dan peranti pembelajaran yang lengkap, hal ini sekaligus mewujudkan jurang tahap intelektual murid sekolah bandar dan luar bandar kerana dengan fasiliti yang lengkap murid di sekolah bandar dapat memperoleh ilmu pengetahuan yang lebih luas dan mendalam berbanding murid sekolah luar bandar. Perkara ini secara tak langsung menyebabkan pelajar berasa rendah diri dan tidak berkembang dalam aspek komunikasi. Ketidakupayaan fasiliti yang lengkap seperti tidak mempunyai alat atau kemudahan untuk belajar juga mengakibatkan mereka menjadi tidak berminat dengan pelajaran. Hal ini disokong oleh Nurazuan (2019), cara murid belajar akan dipengaruhi oleh persekitaran pembelajaran mereka di sekolah. Oleh itu, persekitaran yang baik dan kondusif dikatakan dapat mewujudkan persekitaran yang menyenangkan untuk belajar dan meningkatkan prestasi murid, seperti penggunaan bilik darjah untuk aktiviti yang sesuai dan menyediakan bilik khas.

Meningkatkan jurang hak dalam pengkelasan sekolah adalah kesan stratifikasi yang ketiga. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pengkelasan sekolah, ini termasuk pendapatan keluarga, lokasi sekolah dan prestasi akademik dan kokurikulum. Keadaan ini jelas diperlihatkan apabila sekolah yang terletak di kawasan yang mempunyai ekonomi tinggi mempunyai peluang yang lebih besar untuk menerima bantuan atau sumbangan daripada orang ramai, Situasi ini berbeza dengan sekolah yang terletak di kawasan yang mempunyai ekonomi rendah. Misalnya, apabila melibatkan sekolah di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai bangunan sekolah yang mencukupi dan infrastruktur yang tidak lengkap, usaha untuk meminta bangunan baharu kurang diutamakan berbanding sekolah lain. Ini disebabkan oleh ibu bapa yang kurang berkemampuan dan merupakan orang-orang felda misalnya tidak memberikan sokongan dalam menuntut hak murid sekolah luar bandar untuk memperoleh infrastruktur yang lebih baik dan maju seiring dengan sekolah di kawasan bandar.

Selain itu, kesan stratifikasi sosial adalah murid hilang motivasi dalam pembelajaran. Hal ini kerana, pelajar yang berasal dari keluarga kelas bawahan tidak mampu memiliki peralatan persekolahan yang diperlukan, seperti alat tulis, buku rujukan, buku latihan, dan keperluan harian. Sebagai akibatnya, mereka menjadi kurang yakin diri, yang menyebabkan mereka terisolasi daripada pelajar lain. Walaupun mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, sesetengah pelajar menjadi putus asa dan meninggalkan sekolah akibat beban yang berat dan kengkangan keluarga akibat faktor kewangan yang mendesak. Murid ini juga hilang motivasi untuk belajar kerana pandangan sesetengah murid yang sering memandang rendah terhadap murid golongan bawahan dan hal ini menyebabkan murid ini bersikap pasif sewaktu di dalam kelas. Faktor ekonomi keluarga ini juga membawa kepada keciciran pelajar di dalam pembelajaran di mana murid yang mengalami masalah dalam keluarga secara tak langsung akan hilang motivasi dalam belajar dan mengakibatkan mereka ketinggalan ke belakang dalam aspek akademik. Hal ini disokong oleh Dr Mohd Shaubari (2022), dimana beliau berpendapat bahawa tahap sosioekonomi keluarga, pengaruh latar belakang sosioekonomi keluarga berdasarkan pendapatan isi rumah, pekerjaan ibu bapa, tahap pendidikan ibu bapa, dan lokasi tempat tinggal adalah antara faktor berlaku keciciran dalam pembelajaran murid.

Stratifikasi sosial juga telah mewujudkan perbezaan yang ketara dalam kualiti pendidikan antara institusi di lokasi luar bandar dan bandar. Menurut Doreen & Shahlan (2021), latar belakang sosioekonomi mempengaruhi tingkah laku dan prestasi akademik murid. Hal ini dapat dilihat semasa pembelajaran mereka di mana murid kelas atasan dan pertengahan tidak menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Ini kerana keluarga mereka mempunyai keupayaan untuk memenuhi semua keperluan dan keperluan pendidikan anak-anak mereka berbanding murid kelas bawahan yang keadaan ekonomi keluarganya pada tahap rendah atau miskin. Sebagai contoh, apabila murid kelas atasan atau pertengahan datang ke kelas tambahan, ibu bapa pelajar mempunyai keupayaan untuk menggajikan guru untuk mengajar anak mereka di rumah atau menghantar anak mereka ke kelas tambahan. Mereka juga boleh membeli komputer riba atau komputer, menyediakan pemandu untuk menghantar murid, menunggu dan menjemput murid dari sekolah, membeli makanan tambahan untuk kecerdasan otak dan banyak lagi manakala keadaan ini berbeza bagi murid dalam golongan bawahan atau miskin di mana mereka menghadapi pelbagai cabaran dan serba serbi kekurangan untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Seterusnya, masalah bahan pengajaran turut menjadi implikasi stratifikasi sosial di sekolah. Hal ini kerana, kurikulum, buku teks, dan juga aktiviti ekstrakurikulum sekolah mengandungi bahan pengajaran yang telah melalui proses pemilihan tertentu. Pemeriksaan sumber pendidikan dan aktiviti ekstrakurikulum sebahagian besarnya bergantung kepada strata sosial tertentu. Perkara ini akan lebih menguntungkan sekolah di kawasan bandar kerana struktur ekonomi di sekolah bandar lebih tinggi dan mampu untuk mengadakan pelbagai aktiviti ekstrakurikulum di sekolah tersebut. Bukan itu sahaja, penyediaan infrastruktur dan sumber, seperti alat teknologi pembelajaran, majalah, dan buku, untuk menyokong aktiviti pendidikan juga akan memberi impak yang besar kepada kualiti pendidikan.

            Akhir sekali stratifikasi sosial menyebabkan murid-murid terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar  tidak mendapatkan pendidikan yang sistematik dalam aspek masa belajar. Hal ini kerana, kemiskinan yang wujud di kawasan luar bandar menjadi salah satu faktor utama yang mempengaruhi pencapaian murid sekolah luar bandar, yang pada umumnya masih ketinggalan berbanding murid di bandar. Ini disebabkan oleh hubungan yang kuat antara prestasi akademik murid dan latar belakang sosioekonomi mereka. Murid yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi mungkin dikehendaki mengurus urusan rumahtangga atau membantu ibu bapa mereka mencari wang. Ini bermakna banyak masa akan dihabiskan untuk menyelesaikan kerja rumah berbanding belajar. Murid-murid di kawasan luar bandar yang miskin dari segi ekonomi juga tidak mempunyai akses kepada kelas tambahan kerana kemiskinan menyebabkan kekurangan kemudahan belajar di rumah seperti komputer dan buku rujukan tambahan yang boleh membantu mereka mencapai kejayaan akademik yang lebih baik. Konflikt antara pelajar, ibu bapa, dan masyarakat timbul akibat ketidakseimbangan pencapaian akademik pelajar berdasarkan pengkelasan sosial ini ( Zuraidah Abdullah et al., 2019 )


 

 

                                                                         




                                                                    RUJUKAN

Abdullah Chozin,& Taufan Adi Prasetyo. (2021). Pendidikan Masyarakat Dan Stratifikasi Sosial  Dalam Prespektif Islam. Mamba’ul 'Ulum, 17(2), 1–12. https://doi.org/10.54090/mu.42.

Doreen Ting Jia Chzin.,& Shahlan Surat. ( 2021). Sorotan Literatur Bersistematik : Faktor-Faktor Mempengaruhi Pencapaian Akademik Pelajar. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH),6(12). 137 – 157. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i12.1210

Dr Mohd Syaubari Othman. (2022). Transformasi pendidikan penting tangani isu keciciran murid. Berita Harian 20 Julai 2022. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/07/978371/transformasi-pendidikan-penting-tangani-isu-keciciran-murid

Nurazuan Razali.( 2019 ). Tahap Prasarana Pendidikan Dan Persekitaran Pembelajaran Di Sekolah Menengah Daerah Kota Tinggi. http://eprints.utm.my/78310/1/NorazuanRazaliMFP20191.pdf

Siti Norjannah Dini Samsudin . “Isu Ketidaksamaan Akibat Kepelbagaian Sosio Budaya Memberi Kesan Terhadap Pendidikan Samada Dari Segi Aspek Bahasa | PDF.” Scribd, 27 Sept. 2020, www.scribd.com/document/477663305/Isu-ketidaksamaan-akibat-kepelbagaian-sosio-budaya-memberi-kesan-terhadap-pendidikan-samada-dari-segi-aspek-bahasa.

Suci Budiati,& Saefur Rochmat. (2019). The Impact of Education on Social Stratification and Social Mobility in Communities in Indonesia. file:///C:/Users/Acer/Downloads/125933405.pdf

Zuraidah Abdullah., Siti Nafsiah Ismail ., Salwati Shafee ., Mohd Shahril Nizam Shaharom

       .,& Muhammad Faizal A.Ghani (2019). Pengaruh Pembelajaran Akademik Anak-Anak Keluarga Fakir Miskin Di Sekolah-Sekolah Selangor. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 6(2). https://ejournal.um.edu.my/index.php/JUPIDI/article/download/17354/9969/34870

 

 

 


Comments